5 Minuman Panas Ini Berkesan Untuk Bantu Anda Kurus

Setiap wanita mengidamkan berat badan yang ideal. Bagi anda yang mempunyai masalah berat badan berlebihan, sudah tentu anda ingin menurunkan berat badan dengan cepat dan mudah. Yang paling penting SELAMAT. Ada cara yang boleh anda amalkan untuk menurunkan berat badan tanpa diet.

Jika anda tidak mempunyai banyak waktu untuk selitkan senaman sebagai rutin harian, anda pasti berminat untuk mencuba minuman panas ini bagi membantu anda untuk menurunkan berat badan.

Sebenarnya ada beberapa jenis minuman panas yang ramai orang tidak tahu ia mampu menjadikan anda kurus tanpa perlu bersusah payah. Ia tidak hanya sedap diminum tetapi juga boleh menghilangkan lemak dalam badan, dan membuat anda tampil ramping. Minuman panas apakah itu? Jom kenalpasti.

Kopi Hitam

Kopi hitam atau Black Coffee adalah salah satu jenis minuman panas terbaik untuk menurunkan berat badan. Anda boleh cuba minum kopi hitam panas dua kali sehari dan rasai sendiri perbezaannya. Tapi harus diingat ya, kopi hitam panas ini haruslah tanpa gula.

Minum kopi satu jam sebelum anda lakukan senaman atau sebarang latihan dapat menambah tenaga dan tumpuan supaya anda lebih fokus dan bersemangat. Di samping itu, kopi dapat membantu melindungi sendi yang rosak dan mengurangkan kesakitan setelah latihan kerana di dalam kopi mengandungi zat antioksidan.

Teh Hijau

Siapa yang tidak tahu tentang manfaat hebat teh hijau untuk membuang lemak?

Teh herba yang satu ini sudah lama dipercayai untuk menurunkan berat badan. Jadi, jika anda sekarang dalam proses diet, anda WAJIB memasukkan minuman teh hijau panas ini ke dalam menu diet harian anda.

Supaya ia lebih sedap untuk dinikmati, anda boleh cuba campurkan 1 sudu madu ke dalam satu cawan teh hijau panas. Kemudian tambah 1 hingga 3 titis perahan air lemon. Anda boleh amalkan minum setiap pagi sewaktu perut kosong. Amalkannya setiap hari supaya hasilnya juga terbaik.

Teh Hitam

Teh hitam ini juga bermanfaat untuk membantu anda mendapatkan berat badan ideal. Hampir sama seperti teh hijau, anda boleh tambahkan madu dan juga lemon ke dalam satu cawan teh hitam panas untuk hasil terbaik. Dan minum dalam keadaan perut anda masih kosong pada waktu pagi.

Antara manfaat lain teh hitam adalah mampu meningkatkan metabolisma, membakar kalori, bermanfaat sebagai detox dan juga mengawal nafsu makan supaya anda tidak makan berlebihan.

Teh & Madu

Campurkan 2-3 sudu madu ke dalam satu cawan teh tawar. Pastikan anda meminumnya ketika masih panas. Cara ini dipercayai mampu membantu anda membuang lemak dalam badan, dan menjadikan tubuh lebih langsing.

Amalkan minuman panas ini sebanyak 2-3 kali setiap hari. Ingat! Anda harus menghindari gula untuk cepat langsing bukan? Gantikan dengan madu sahaja.

Teh Kayu Manis

Teh kayu manis juga dapat membantu penurunan berat badan. Caranya dengan campurkan teh tawar panas dengan serbuk kayu manis. Bagi minuman teh kayu manis ini, anda boleh amalkannya dua kali dalam satu minggu, tapi secara konsisten ya, supaya berat badan ideal yang anda impikan boleh direalisasikan.

Teh kayu manis secara semulajadi ia adalah rendah kalori dan membantu anda mengatur kadar gula dalam darah. Jika gula dalam darah anda seimbang, anda akan cenderung untuk memiliki nafsu makan yang tidak besar. Selain itu, teh kayu manis sebenarnya juga dapat membantu anda melancarkan sistem pencernaan.

Jadi inilah lima jenis minuman panas untuk bantu anda kurus. Ternyata, untuk memiliki berat badan yang ideal, anda tidak perlu menyeksa diri sendiri dengan melakukan diet yang ekstrim, bukan?

Kerana diet pada hakikatnya mengatur gaya hidup yang sihat serta diiringi dengan disiplin dan keinginan yang kuat. Kalau sekadar fokus di permulaan sahaja, sampai bila-bila pun anda tidak akan nampak hasilnya.

Dengan mengetahui manfaat minuman ini, anda sudah tahu bahawa dengan mengamalkan minuman panas di atas tadi secara teratur, makan lemak dalam badan juga boleh dihilangkan. Tapi ingat ya, untuk hasil maksimum, anda harus melakukannya secara rutin dan disiplin.

Tips Penjagaan Jantung Agar Kekal Sihat

Jantung merupakan salah satu organ terpenting yang menghidupkan semua sistem biologi dalam tubuh kita. Tanpa degupannya, sudah pasti seseorang itu tidak bernyawa. Jantung akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun, disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dari awal diberikan kepada jantung.

Serangan sakit jantung biasanya berlaku secara mengejut dan lambat mendapatkan rawatan ia boleh membawa kepada kematian. Oleh itu, kami ingin kongsikan sedikit tips berguna kepada anda berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita agar ia kekal sihat.

Dr. Jamilah Jamaludin dalam bukunya yang berjudul “Jantung-Antara Hidup dan Mati” (1997), beliau telah menulis mengenai beberapa petua dan panduan penjagaan jantung. Antara tip-tip berguna yang beliau kongsikan untuk memastikan jantung kekal sihat adalah dengan mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam dan melakukan perubahan gaya hidup

Mengawal Berat Badan

Kegemukan sering mendatangkan pelbagai risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Biasanya kegemukan adalah disebabkan oleh pengambilan kuantiti makanan secara berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Sekiranya seseorang itu memiliki berat badan berlebihan dan tidak mampu untuk bergiat aktif, maka kalori makanan yang tinggi jika tidak digunakan akan tersimpan menjadi lemak di beberapa bahagian tertentu. Risiko penyempitan saluran darah mungkin akan berlaku sekiranya tidak dikawal.

Oleh itu, jika anda mementingkan kesihatan dan kesejahteraan hidup, berat badan yang berlebihan hendaklah dikurangkan segera bagi mengelakkan pelbagai penyakit kronik menyerang  seterusnya menyulitkan kehidupan harian anda

Menjaga Pemakanan

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, sebaik-baiknya elakkan dari mengambil makanan yang kaya dengan lemak seperti mentega, keju, minyak sapi. Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol seperti telur, mentega, hati dan seumpamanya perlu dielakkan.

Selain itu, penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik dan menyihatkan berbanding yang bergoreng.

Jauhilah pengambilan alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada tubuh, khususnya hati. Lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana makanan ini adalah sangat baik dijadikan suplemen dalam membekalkan pelbagai nutrisi dan kaya dengan serat.

Berhenti merokok

Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung adalah dari kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.

Bersenam

Aktiviti senaman seperti berjogging, berjalan, beriadah atau berbasikal merupakan antara contoh senaman sihat bagi semua golongan terutamanya bagi mereka yang pernah mengalami serangan jantung.

Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengepam darah dan membawa oksigen ke seluruh tubuh dengan baik dan lancar. Bersenam secara teratur juga membantu menurunkan kadar tekanan darah. Sebarang senaman yang jika dilakukan secara teratur dapat mengurangkan risiko seseorang itu mendapat penyakit jantung atau penyakit berbahaya yang lain.

Perubahan Gaya Hidup

Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi atau tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang yang merangkumi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok, kerjaya dan tekanan (stres).

Jika selama ini kita mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat, berubahlah segera. Tanganilah segera masalah atau tekanan dengan bijak. Sentiasa berfikiran positif akan menjadikan anda seorang yang cergas dan berfikiran matang dalam apa jua tindakan. Amalan gaya hidup yang sihat tentunya akan membuatkan kualiti hidup bersama pasangan dan keluarga lebih bermakna.