Tips Penjagaan Jantung Agar Kekal Sihat

Jantung merupakan salah satu organ terpenting yang menghidupkan semua sistem biologi dalam tubuh kita. Tanpa degupannya, sudah pasti seseorang itu tidak bernyawa. Jantung akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun, disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dari awal diberikan kepada jantung.

Serangan sakit jantung biasanya berlaku secara mengejut dan lambat mendapatkan rawatan ia boleh membawa kepada kematian. Oleh itu, kami ingin kongsikan sedikit tips berguna kepada anda berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita agar ia kekal sihat.

Dr. Jamilah Jamaludin dalam bukunya yang berjudul “Jantung-Antara Hidup dan Mati” (1997), beliau telah menulis mengenai beberapa petua dan panduan penjagaan jantung. Antara tip-tip berguna yang beliau kongsikan untuk memastikan jantung kekal sihat adalah dengan mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam dan melakukan perubahan gaya hidup

Mengawal Berat Badan

Kegemukan sering mendatangkan pelbagai risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Biasanya kegemukan adalah disebabkan oleh pengambilan kuantiti makanan secara berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Sekiranya seseorang itu memiliki berat badan berlebihan dan tidak mampu untuk bergiat aktif, maka kalori makanan yang tinggi jika tidak digunakan akan tersimpan menjadi lemak di beberapa bahagian tertentu. Risiko penyempitan saluran darah mungkin akan berlaku sekiranya tidak dikawal.

Oleh itu, jika anda mementingkan kesihatan dan kesejahteraan hidup, berat badan yang berlebihan hendaklah dikurangkan segera bagi mengelakkan pelbagai penyakit kronik menyerang  seterusnya menyulitkan kehidupan harian anda

Menjaga Pemakanan

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, sebaik-baiknya elakkan dari mengambil makanan yang kaya dengan lemak seperti mentega, keju, minyak sapi. Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol seperti telur, mentega, hati dan seumpamanya perlu dielakkan.

Selain itu, penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik dan menyihatkan berbanding yang bergoreng.

Jauhilah pengambilan alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan pelbagai kesan buruk kepada tubuh, khususnya hati. Lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana makanan ini adalah sangat baik dijadikan suplemen dalam membekalkan pelbagai nutrisi dan kaya dengan serat.

Berhenti merokok

Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung adalah dari kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.

Bersenam

Aktiviti senaman seperti berjogging, berjalan, beriadah atau berbasikal merupakan antara contoh senaman sihat bagi semua golongan terutamanya bagi mereka yang pernah mengalami serangan jantung.

Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengepam darah dan membawa oksigen ke seluruh tubuh dengan baik dan lancar. Bersenam secara teratur juga membantu menurunkan kadar tekanan darah. Sebarang senaman yang jika dilakukan secara teratur dapat mengurangkan risiko seseorang itu mendapat penyakit jantung atau penyakit berbahaya yang lain.

Perubahan Gaya Hidup

Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi atau tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang yang merangkumi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok, kerjaya dan tekanan (stres).

Jika selama ini kita mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat, berubahlah segera. Tanganilah segera masalah atau tekanan dengan bijak. Sentiasa berfikiran positif akan menjadikan anda seorang yang cergas dan berfikiran matang dalam apa jua tindakan. Amalan gaya hidup yang sihat tentunya akan membuatkan kualiti hidup bersama pasangan dan keluarga lebih bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *